Sunday, 12 June 2011

wasiat ayah

KUCHING: Seorang remaja lelaki yang baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu lalu, maut dirempuh lori kontena ketika menunggang motosikal di Kawasan Perindustrian Sejingkat, Jalan Bako, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, Mohd Syadiq Abdul Halim, 17, dari Kampung Hijrah, Bako, dirempuh lori kontena dari arah belakang menyebabkan dia dan motosikalnya terperosok di bawah lori sebelum diseret sejauh 50 meter lagi.

Ibu mangsa, Niah Nahrawi, 45, berkata anak keduanya itu baru saja selesai menduduki peperiksaan SPM minggu lalu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bako dan berniat mahu mencari pekerjaan bagi membantu keluarga.
"Arwah keluar kira-kira jam 7 pagi tadi (semalam) dan saya memberinya duit RM2 bagi digunakan kerana saya tidak sempat menyediakan sarapan di rumah.

"Semalam (kelmarin) mangsa ada bertanya mengenai surat wasiat peninggalan arwah ayahnya yang meninggal pada 2003 tetapi dia tidak memberi tahu apa tujuannya kepada saya," katanya yang ditemui di HUS petang semalam.

Niah berkata, dia ada menasihatkan Syadiq supaya tidak tergesa-gesa mencari pekerjaan dan memintanya berehat dulu di rumah sementara menunggu keputusan SPM diumumkan.
"Dia ada menyatakan hasrat menyambung pelajarannya ke peringkat lebih tinggi dan saya sudah menyediakan sedikit wang yang disimpan bank bagi digunakan menampung perbelanjaannya kelak," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis trafik berkata, mangsa mati di tempat kejadian kerana cedera parah pada kepala dan belakang badan akibat digilis tayar lori kontena yang dalam perjalanan mengambil muatan di kawasan perindustrian berkenaan.

"Pemandu lori yang berusia 28 tahun dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum merempuh bahagian belakang motosikal yang ditunggang mangsa seorang diri sebelum dia terperosok di bawah lori kontena berkenaan.

"Akibat dari rempuhan itu, bahagian kepala, belakang badan dan kaki mangsa cedera parah digilis beberapa kali sebelum pemandu lori dapat memberhentikan lorinya yang dipercayai dipandu laju," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi bedah siasat.

Pemandu dan lori kontena berkenaan kini ditahan di Balai Polis Sungai Maong dan polis meminta saksi yang melihat kejadian menghubungi Balai Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di talian 082-2444444.

No comments:

Post a Comment